Taqi ad-Din Ahmad ibn Taymiyyah (nama penuh Taqī ad-Dīn Abu 'l Abbās Ahmad ibn 'Abd al-Halīm ibn 'Abd as-Salām Ibn Taymiya al-Harrānī; تقي الدين أبو العباس أحمد بن عبد السلام بن عبد الله ابن تيمية الحراني) adalah seorang sarjana Sunni yang lahir (22 Januari 1263 – 1328) di Harran, Turki. Beliau hidup semasa zaman kekacauan yang menyaksikan pencerobohan Mongol. Sebagai seorang yang bermazhab Hanbali, beliau mau melihat masyarakat Islam kembali kepada sumber al-Quran dan as-Sunnah.
Ibnu Taimiyah lahir pada tahun 1263 di Harran di dalam keluarga yang alim. Sebuah buku biografi kurun ke-15 bertajuk At-Tibyan li badi'at al-Bayan (التبيان لبديعة البيان) menulis beliau adalah dari keturunan puak Arab Banu Numayr. Datuk beliau, Abu al-Barkat Majd ad-deen ibn Taymiyyah al-Hanbali (meninggal dunia pada tahun 1255), adalah seorang guru terkenal dalam mazhab Hanbali. Bapa Ibnu Taimiyah, Shihabuddeen Abd al-Haleem ibn Taymiyyah (meninggal dunia pada tahun 1284) juga dikenali dengan pencapaiannya ilmunya yang membanggakan.
Apabila tentera Mongol menceroboh, keluarga Ibnu Taimiyah berpindah ke Damsyik pada tahun 1258 yang pada masa itu diperintah oleh kerajaan Mamluk yang berpusat di Mesir. Di Damsyik, bapanya menyampaikan kuliah agama di Masjid Umayyad dan Ibnu Taimiyyah mengikut jejak bapanya dengan belajar dari sarjana Islam terulung pada masa itu, di antaranya ilmu hadith dari Zaynab binti Makki.
Ibnu Taimiyah adalah seorang pelajar yang rajin dan membiasakan diri beliau dengan ilmu agama dan sains pada zaman itu. Beliau juga memberi tumpuan khusus kepada sastera Arab dan berjaya menguasai nahu dan tatabahasa Arab serta matematik dan kaligrafi. Beliau mempelajari fiqah dari bapanya dan menguasai ilmu tentang al-Quran dan Hadith. Beliau juga belajar mengenai ilmu kalam, falsafah, dan sufisme yang kemudiannya dikritik hebat oleh beliau.
Keberanian beliau terserlah ketika beliau bersama delegasi ulama mengadap Qazaan, seorang Khan Tartar, untuk memintanya menghentikan serangan ke atas orang Islam. Tiada seorang pun ulama yang berani berkata-kata kecuali Ibnu Taimiyah yang berkata: "Kamu mendakwa kamu seorang Islam dan kamu mempunyai Mu'adhdhin, Mufti, Imam dan Sheikh tetapi kamu menceroboh kami dan datang ke negeri kami untuk apa? Walaupun bapa dan datuk kamu, Hulagu seorang kafir, mereka tidak menyerang dan mematuhi janji mereka. Kamu pula berjanji tetapi ingkar."
Kerana Ibnu Taimiyyah seorang yang berani dan mempunyai pendirian yang teguh, beliau telah dipenjarakan beberapa kali kerana bertentangan pandangan dengan ahli agama yang lain. Pada awal tahun 1293 beliau berkonflik dengan pihak berkuasa tempatan kerana membantah hukuman agama ke atas seorang Kristian yang dituduh menghina Nabi Muhammad. Pada tahun 1298 beliau dituduh menyebar fahaman anthropomorphisme (menyamakan sifat manusia ke atas Tuhan) dan kerana mempersoalkan ilmu kalam.
Beliau mengepelai barisan pertahanan ketika pencerobohan Mongol ke atas Damsyik pada tahun 1300. Pada tahun berikutnya, Ibnu Taimiyah berhadapan dengan polemik terhadap
(1) Syiah Kasrawan di Lebanon,
(2) aliran Sufi Rifa'i, dan
(3) aliran ittihadiyah yang berasal dari ajaran Ibnu Arabi, yang beliau anggap menyesatkan.
Pada tahun 1306, Ibnu Taimiyah dipenjaran di Mesir selama 18 bulan kerana dituduh menyokong fahaman anthropomorphisme (menyamakan sifat manusia ke atas Tuhan). Beliau dipenjarakan kembali pada tahun 1308 untuk beberapa bulan. Ibnu Taimiyah menghabiskan 15 tahun terakhirnya di Damsyik bersama murid-muridnya. Seorang muridnya yang terkenal adalah Ibnu Qayyim. Pada bulan Ogos 1320 sehingga Februari 1321, Ibnu Taimiyah dipenjarakan di Damsyik kerana menyokong doktrin tentang talak (talak tiga boleh dilakukan dengan satu talak).
Pada bulan Julai 1326, kerajaan Mesir sekali lagi mengarahkan beliau dipenjarakan kerana beliau terus mengutuk tradisi melawat kubur orang alim. Beliau meninggal dunia di dalam kurungan di Damsyik pada malam Isnin 27 September 1328 ketika berumur 65 tahun. Beliau dimakamkan di Damsyik berdekatan dengan kubur ibunya. Ibnu Taimiyah terkenal dengan daya ingatannya yang kuat dan ilmunya yang seperti sebuah ensiklopedia.
Wallahu A'lam